Ibu tertarik dengan perkongsian ustaz Zaharuddin di laman webnya, jadi ibu nak berkongsi dengan semua. Moga kita dapat manfaat juga. Ia berkenaan soalan seorang gadis kepada ustaz tentang aurat dan adab.
SOALAN
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah
menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya
menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak
lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan
berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang
patut.
Sekarang saya sudah bekerja dan hanya
memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan
undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya
tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak
terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara pemakaian saya tidak seperti
rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka
tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk
tubuh.
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang
dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat,
berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai
seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan
garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi
dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga
rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka
lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat,
panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan
pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat,
pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya
supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu
berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan
ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan
sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk
terus memakai tudung. Amiin...
-
Diera -
JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari
utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1) ISU TIDAK MAHU BERTUDUNG ( MENUTUP AURAT) TANPA IKHLAS KERANA TIDAK MAHU HIPOKRIT SERTA TIDAK MAHU BERUBAH KERANA DISURUH.
Namun demikian, disebabkan soalan ini
ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk
memberikan ulasan tambahan. Begini
ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah
mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya
bertudung. Justeru, sama ada seseorang itu
ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari
hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban
itu.
Sebagaimana seorang pemandu tidak
berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan
terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi,
sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain,
malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor
plat kereta untuk diadukan kepada polis. Atas sebab itu, pemandu yang asalnya
‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia
berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran.
Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya.
Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan
bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa
mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki
yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi
bersama oleh wanita tersebut).! Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama
sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk
menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya. Sama
seperti
mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta
larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa
atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi
larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia
tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.
Apa yang perlu diusahakan adalah terus
menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi
larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan
ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam. Perlu diingat, jika seseorang menutup
aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan
beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang
diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata
lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya
secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke
atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup
aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan
sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal
dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di
level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level
pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain,
seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu
dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas
tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil
hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya
bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi
kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam
dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan
Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari
nanti yang diharapkan.
2) MEREKA
YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Kembali kepada persoalan saudari, dari
bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta
terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain
yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari
merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau
bertudung. Sebelum itu, saya perlu ingatkan
saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu
perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk
menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua
wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju
kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan
Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT. Justeru, adalah SALAH bagi saudari
menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN
BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT. Malah jika mereka benar-benar menutup
aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap
pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau
tidak. Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh
Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup
seluruh bahagian aurat tubuh.
Selain itu, adalah salah sama sekali
dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang
lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan
seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal
agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari
kita, agar kita terus berusaha Manakala dalam hal keduniaan, barulah
kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar
kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ
الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا
صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في
دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa
dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar,
sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur
dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka
yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal
keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia
memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665
; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
3) WALAUPUN
TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPUMENJAGA
TINGKAH LAKU.
Tahniah atas kemampuan saudari untuk
terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan
ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan
mendorong seseorang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan
Allah. Namun apabila saudari terus redha dalam
pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari
juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat
kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa
jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong
tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan
terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai
orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk. Justeru, saya menasihatkan saudari agar
segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau
tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai
mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah
sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup
aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi
tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab
terhadap Allah dan sedang melakukan dosa. Malah saudari juga patut bersyukur
mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini
yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang
disukai syaitan iaitu seksi. Lalu apabila ibu
menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana
aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan
dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah. Bukankah mentaati ibu dalam hal yang
tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang
mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati
arahan Allah swt.
4) BUKAN
SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH?
Jika bukan sekarang, maka adakah
apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai
diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan
umur masih panjang beberapa minggu lagi. Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab
jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah. Moga Allah membantu saudari untuk
segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini. Saya juga doakan saudari untuk segera
berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam
semua amalan kita.
Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan