Wanita Dan Minyak Wangi




Petikan daripada FB Ustazah Noraslina Jusin

“Solehah, awak ke pejabat tak pakai minyak wangi ke? Saya berdiri dekat, tak bau pun wangian yang menyerlah dan memikat; ‘kosong’ je?” Afiah, menyapa teman sekerjanya sambil hidungnya dikembangkempiskan. Matanya bulat melihat wajah polos Solehah yang bersih tanpa sebarang warna.

Namun, dalam hatinya, dia tidak menyangkal. Walau Solehah tidak mengenakan sebarang solekan, paras rupanya tetap berseri memancar ketenangan.

“Ada bau kurang elok ke pada saya Afiah?” Solehah membalas dengan satu pertanyaan.

Bukan bimbang dengan kata-kata rakannya tadi, tetapi sekadar berbasa basi; kerana dia yakin, badannya tidak mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Pakaiannya juga bersih dan tidak basah dengan peluh kerana pejabat termasuk kantin tempat mereka menjamu selera, dilengkapi penghawa dingin.

Air sirap limau di hadapannya dihirup penuh sopan. Tengahari itu, dia dan Afiah menikmati makan tengahari di kantin pejabat mereka.

“Tak adalah bau tak elok…Biasa-biasa sahaja. Cuma kita ni bekerja di pejabat. Eloklah berwangi-wangi sikit, baru dapat bekerja penuh semangat. Moga-moga mudah pula naik pangkat, dapat suami pun orang yang hebat…tak begitu?” Afiah menjelaskan dalam nada jenaka.

Solehah diam, belum mahu menjawab.

“Awak memang tak pernah pakai minyak wangi ke Solehah kalau keluar rumah?” Afiah menyusul bicara dengan satu pertanyaan. Kehairanan dengan kebiasaan teman sepejabatnya itu. Berbeza daripada rakan-rakan wanita yang lain.

Mendengar itu, Solehah tersenyum. Peluang yang ada, harus dimanfaatkan sebaiknya. Hukum agama perlukan hikmah untuk dijelaskan, terutama kepada mereka yang sudah biasa melakukan kesilapan sebegitu, mungkin kerana tidak tahu dan mungkin juga kerana kurang kesedaran dalam melaksanakan syari’at-NYA.

PENDIRIAN

“Afiah, ada banyak hadis yang memperkatakan persoalan ini, iaitu wanita dilarang untuk berwangi-wangian ketika keluar rumah atau semasa berada bersama lelaki bukan mahram. Di antaranya ialah :

1) Dari Abu Musa al Asy’ary bahawa dia berkata, Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya : “Seorang perempuan yang mengenakan wangian lalu melalui sekumpulan laki-laki agar mereka mencium bau harum yang dipakai maka perempuan tersebut adalah seorang penzina.” ( hadis riwayat an Nasa’i, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad. Sheikh al Albani dalam Sahihul Jami’ no. 323 mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih).

2) Hadis lain :

أيما امرأ ة تطيبت ثم خرجت إلى المسجد ، لم تقبل لها صلا ة حتى تغتسل

Maksudnya : “Siapa sahaja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga dia mandi terlebih dahulu (membersihkan dirinya daripada wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

“Jika untuk pergi ke masjid melaksanakan ibadat kepada ALLAH pun dilarang seorang perempuan dari berwangian. Inikan pula untuk tujuan dunia seperti kita yang bekerja di pejabat ini.” Solehah meluahkan.

“Habis, kita orang perempuan ni kena busuk lah kalau keluar rumah?” Afiah mencebikkan bibir. Hatinya masih belum puas dengan penjelasan Solehah.

Solehah menyambut dengan tertawa kecil. Wajah rakannya dilihat penuh kasih mesra. Kemanisan melaksanakan suruhan ALLAH sebagaimana yang dirasakannya ingin dikongsi bersama. Biar sama-sama merasai kebahagiaan mentaati-NYA.

“Bukan begitu. Larangan wanita berwangian ketika keluar rumah, bukanlah pula galakan kepada keadaan sebaliknya. Islam menganjurkan umatnya agar menjaga kebersihan.; kerana dengan kebersihan, bau-bau yang tidak menyenangkan dapat dihindarkan. Dengan itu, seorang muslimah yang menjaga kebersihan, sudah cukup untuk dia keluar tanpa memerlukan wangian. Kalau pun atas sebab untuk menghindari bau akibat berpeluh, deodorant yang tidak kuat baunya sudah cukup untuk tujuan itu.Lagi pula, kita yang bekerja di pejabat begini, air-cond sentiasa terpasang, tak panas dan sangat susah untuk berpeluh.” Solehah tetap sabar memberi penjelasan.

“Bagaimana pula dengan wanita yang bermasalah bau badan? Takkan dia kena hadapi kehidupan di luar dengan bau yang tidak menyenangkan?” Afiah semakin berminat untuk bertanya. Bagi menambah maklumat dan ilmu.

“Dalam keadaan seseorang wanita bermasalah bau badan, sudah tentu ada keharusan untuk dia memakai ubat atau wangian bagi menghilangkan bau badan yang tidak menyenangkan itu seterusnya menghindari rasa jijik orang lain yang sering membuatkan wanita seperti ini merasa rendah diri. Walaubagaimanapun, bau dari ubat atau wangian tersebut hendaklah tidak menyebar, cukup sekadar hanya untuk menutup bau yang tidak elok dari badan. Jika ia menyebarkan bau wangi, hukumnya tetap tidak boleh berdasarkan hadis yang saya sebutkan tadi. Akan tetapi, jika ubat atau wangian yang digunakan bagi mengatasi masalah bau badan tersebut menyebarkan bau harum dalam tempoh tertentu, contohnya sepuluh minit setelah disapu pada badan/pakaian, maka tunggu sehingga hilang bau wangi tersebut, kemudian baru boleh keluar rumah. Syari’at Islam itu mudah, tetapi jangan pula dipermudah-mudahkan..” Panjang lebar Solehah memberikan panduan.

LAMPU ISYARAT

Afiah menganggukkan kepala. Pinggan nasi dengan lauk ayam masak merah dan sedikit sayur campur di hadapannya sudah hampir habis dijamah. Dia menghirup air suam kosong yang masih berbaki separuh gelas.

“Saya ada satu soalan..” Solehah mengambil peluang melanjutkan perbincangan.

“Agak-agaknya apa akan berlaku, jika dunia kita ini tak ada lampu isyarat di jalanraya?” Wajah Afiah sedikit terkejut; tidak menduga tiba-tiba sahaja soalan itu yang ditanya kepadanya.

“Melanggar lampu isyarat sahaja boleh berisiko berlakunya kemalangan jalanraya, inikan pula kalau tak ada langsung lampu isyarat…tentu huru hara jadinya.” Pantas Afiah menjawab.

“Ye tepat sekali jawapan tu. Bayangkan...di antara ramai orang yang patuh dengan warna merah pada lampu isyarat, lalu memberhentikan kereta dan sabar menunggu sehingga warna hijau mengambil tempat, pasti ada di kalangan mereka, individu yang kurang sabar dan gopoh lantas mengabaikan isyarat merah; kenderaan terus dipacu ke hadapan tanpa sedar tindakannya itu boleh mengundang bahaya pada nyawa dan tubuh badan, bukan sahaja kepada dirinya, bahkan kepada orang lain yang berada di sekitarnya.” Solehah menjelaskan. Afiah mengangguk kepalanya tanda bersetuju.

“Begitulah dalam kehidupan ini....ALLAH SWT, sebagai TUHAN yang menciptakan manusia, telah menurunkan syari'at-NYA sebagai 'lampu isyarat cinta' bertujuan mengatur kehidupan manusia di dunia agar selamat dan terhindar dari bahaya. Namun, sayang...masih wujud insan-insan yang tega 'melanggar' lampu isyarat cinta-NYA' ini dengan anggapan ia mengekang, menyusah dan melambatkan mereka mencapai apa-apa tujuan hidup.
Adanya lampu isyarat lalulintas, bukanlah bermaksud untuk menghambat laju kenderaan, melainkan ia adalah untuk mengatur perjalanan agar aman dan lancar.

Lalu, demikian juga, adanya syari'at bukanlah untuk mengekang kehidupan, tetapi justeru untuk memandu manusia agar kehidupan mereka berjalan dengan selamat di dunia dan juga di akhirat sana.”

KEREDAAN-NYA LEBIH UTAMA

“Hmm…tapi bukankah orang lelaki suka wanita yang wangi?”Soalan Afiah masih bertali. Masih ada kekusutan yang minta dileraikan.
Kali ini, Solehah menerima soalan Afiah dengan wajah yang agak serius. Namun, dia menjawab penuh berhemah.

“Kerana lelaki sukakan wangianlah, kita wanita perlu lebih berhati-hati. Wangi itu mengasyikkan, tapi jika dihidu oleh orang yang salah, ditempat yang salah dan pada masa yang salah, merbahaya pada orang perempuan tau!” Dalam jenaka Solehah tegas bersuara.

“Maksudnya?” Afiah kebingungan.

“Seorang wanita boleh berwangian malah sangat digalakkan ketika bersama suami di rumah bagi membangkitkan rasa cinta berahi dan kasih mesra sesama mereka. Akan tetapi, Islam melarang wanita berwangian di luar rumah kerana ia boleh membangkitkan nafsu lelaki, dan lelaki yang tidak sihat imannya pasti mudah bertindak buruk sehingga boleh membahayakan maruah wanita tersebut.Keadaan inilah yang ingin dijaga oleh Islam buat memelihara kehormatan wanita Islam.

Sememangnya berpenampilan dengan bau yang menyenangkan itu satu keistimewaan bagi kaum perempuan. Tetapi, hati yang diikat iman dan taqwa memandang keredaan TUHAN itu lebih besar dari sekadar ingin menambat hati lelaki dengan berwangi-wangi. Bukankah kita mengharapkan jodoh yang diberkati? Insya ALLAH, wanita yang memelihara hukumnya adalah wanita yang berusaha untuk menjadi baik dan solehah, dan mudah-mudahan ALLAH SWT dengan rahmat-NYA yang amat luas itu, mengurniakan seorang suami yang juga berusaha untuk menjadi baik dan soleh.” Solehah menambah penuh keyakinan.

Usai meneguk air minum yang masih berbaki, Solehah memandang wajah Afiah buat kesekian kali.

“Jom! Waktu rehat dah hampir tamat. Kita ke surau dan solat. Semoga ALLAH SWT membantu kita menjadi hamba-NYA yang taat.”

0 ulasan:

Catat Ulasan